29 Disember 2008

Azam Tahun Baru (1430H/2009M)

Maksud Azam (Kamus dewan bahasa):

Kemahuan (keinginan, cita-cita) yang sangat kuat, tujuan (yang sesungguhnya).


Apakah azam tahun baru anda?. Jika ditanya, bermacam-macam jawapan yang diberikan.... Sudah tentu bagi seorang pelajar ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran, ada yang nak buang sikap malas, ada yang hendak tingkatkan PNGK dan tidak kurang pula yang terlalu tinggi dari jangkauan. Pastinya berbeza-berbeza, lain orang, lain kehendaknya. Yang penting, azam itu hendaklah sesuatu yang baik.


Tetapi, jika ditanya pasal azam tahun lepas, adakah semuanya tercapai atau sebaliknya. Lihat berapa ramai orang dapat memberikan jawapannya dan mungkin ada yang terlupa azam mereka tahun lepas. “Tepuk dada, tanya diri”.


Azam tahun baru ibarat janji kepada diri sendiri. Tidak perlu alasan untuk mengingkari janji ini dan lebih-lebih lagi ianya tidak melibatkan orang lain. Sebab itu bila hujung tahun tiba, kita sedikit pun tidak ambil peduli di tahap mana pencapaian atau perkembangan azam baru yang ditanam untuk tahun itu. Lebih malang, ada yang terlupa apa azam baru mereka itu.


Di zaman moden ini, banyak perkara pula yang boleh melalaikan kita dari mengingati dan menunaikan azam kita. Sebab itu ada yang beranggapan kita perlu sentiasa muhasabah dan menilai kembali apa yang telah kita lakukan. Masa itulah, dapat kita melihat sejauh mana tahap pencapaian azam kita.


Ada pula orang yang berpandangan sinis tentang azam tahun baru. Mereka beranggapan ia tidak lebih sekadar angan-angan kosong dan hanya hangat-hangat tahi ayam.


Ada juga yang berpendapat, jika hendakkan sesuatu tidak perlu tunggu tahun baru. Ianya boleh dibuat bila-bila masa.


Walaubagaimanapun, tidak salah jika kedatangan tahun baru ini (Masehi/hijrah) kita memasang niat dan berazam untuk mencapai sesuatu, tidak semestinya sesuatu yang besar, cukuplah ianya mengikut kemampuan kita, ukurlah baju dibadan sendiri. Azam tahun baru ini sekurang-kurangnya dapat meningkatkan nilai dan peribadi kita sebagai mahasiswa dan seorang insan.


Benarlah azam baru itu berbalik kepada diri sendiri. Sejauh mana kita menginginkan sesuatu untuk tahun itu, sejauh itulah ia akan mendorong semangat dan tindakan kita.

Sebab itu azam tahun baru ini adalah fasa terbaik untuk kita menilai dan bermuhasabah diri. Jika azam pada diri sendiri pun tidak mampu untuk kita lunas, bagaimana pula dengan harapan yang diletakkan oleh orang lain pada diri kita?


Justeru, azam baru nanti janganlah pula hanya untuk kepentingan dan keinginan sendiri. Selitkan juga janji kita untuk semua watak yang kita pegang dalam kehidupan ini.


Semoga azam tahun baru ini dapat dijadikan titik permulaan perubahan kita dan hijrah kita ke arah yang lebih baik dan cemerlang.



”Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah. - Lao Tze”.



” Semoga Tahun Ini Lebih Baik Dari Sebelumnya”


Selamat Tahun Baru

daripada kami

Gabungan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina


"Tahun Baru, Azam Baru, Harapan Baru Mahasiswa"