26 Disember 2008

Tahniah: UKMSat II Satelit Terbaik

SATELIT UKMSat II ciptaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul johan di Pertandingan SiswaSat Kebangsaan (SiswaSat) 2008, baru-baru ini.

Pertandingan itu anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).


Pertandingan itu berkonsepkan reka-bina-lancar dan memerlukan pelajar merekabentuk, memasang, membina, mengintegrasi, menguji dan melancarkan satelit bersaiz nano menggunakan belon helium pada ketinggian 150 meter.


Ketua pasukan UKM, Yap Kok Wai, 22, berkata mereka terkejut dengan kemenangan ini kerana sepanjang empat bulan membina UKMSat II ini, pelbagai masalah dihadapi.


Menurutnya, sebelum UKMSat II ini berjaya terapung dan dinobatkan pemenang, Yap bersama lima lagi rakannya terpaksa menerima empat kegagalan.


"Kami terpaksa membuka balik seluruh binaan kerana salah menggunakan perkakasan dan tidak tahu apakah perkakasan yang perlu digunakan.


"Selain membina UKMSat II, kami juga perlu menghasilkan satu perisian yang mampu memaparkan setiap pergerakan serta bacaan sepanjang ia terapung dan ini turut menyumbang masalah," katanya.


Bagaimanapun, berkat kesabaran, kesungguhan dan keazaman, mereka membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi, hamper dan sijil penghargaan.


Universiti Industri Selangor (Unisel) yang muncul juara tahun lalu hanya berpuas hati di tempat kedua dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tempat ketiga.


Program Angkasa yang kini masuk tahun kedua adalah program diadaptasi dari program Pertandingan CanSat yang diadakan setiap tahun di peringkat antarabangsa dan menggunakan roket amatur sebagai pelancar.

Pemenang dinilai dari segi pematuhan syarat keperluan minimum pertandingan, dokumentasi dan pembentangan, aspek ketulenan, kreativiti, inovasi reka bentuk, kejuruteraan dan aspek pengurusan.


Tahun ini, SiswaSat disertai sembilan universiti tempatan (awam dan swasta) iaitu UKM, UIAM, Unisel, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Multimedia, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Kuala Lumpur.. (Dipetik dari Harian Metro)


Untuk makluman semua, pertandingan ini telah diwakili oleh mahasiswa Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) UKM.



Kami GMUKM-FKAB mengucapkan TAHNIAH kepada mahasiswa dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) yang terlibat dengan pertandingan tersebut…



…GENERASI JURUTERA CEMERLANG…