29 Disember 2008

Azam Tahun Baru (1430H/2009M)

Maksud Azam (Kamus dewan bahasa):

Kemahuan (keinginan, cita-cita) yang sangat kuat, tujuan (yang sesungguhnya).


Apakah azam tahun baru anda?. Jika ditanya, bermacam-macam jawapan yang diberikan.... Sudah tentu bagi seorang pelajar ingin mencapai kejayaan dalam pelajaran, ada yang nak buang sikap malas, ada yang hendak tingkatkan PNGK dan tidak kurang pula yang terlalu tinggi dari jangkauan. Pastinya berbeza-berbeza, lain orang, lain kehendaknya. Yang penting, azam itu hendaklah sesuatu yang baik.


Tetapi, jika ditanya pasal azam tahun lepas, adakah semuanya tercapai atau sebaliknya. Lihat berapa ramai orang dapat memberikan jawapannya dan mungkin ada yang terlupa azam mereka tahun lepas. “Tepuk dada, tanya diri”.


Azam tahun baru ibarat janji kepada diri sendiri. Tidak perlu alasan untuk mengingkari janji ini dan lebih-lebih lagi ianya tidak melibatkan orang lain. Sebab itu bila hujung tahun tiba, kita sedikit pun tidak ambil peduli di tahap mana pencapaian atau perkembangan azam baru yang ditanam untuk tahun itu. Lebih malang, ada yang terlupa apa azam baru mereka itu.


Di zaman moden ini, banyak perkara pula yang boleh melalaikan kita dari mengingati dan menunaikan azam kita. Sebab itu ada yang beranggapan kita perlu sentiasa muhasabah dan menilai kembali apa yang telah kita lakukan. Masa itulah, dapat kita melihat sejauh mana tahap pencapaian azam kita.


Ada pula orang yang berpandangan sinis tentang azam tahun baru. Mereka beranggapan ia tidak lebih sekadar angan-angan kosong dan hanya hangat-hangat tahi ayam.


Ada juga yang berpendapat, jika hendakkan sesuatu tidak perlu tunggu tahun baru. Ianya boleh dibuat bila-bila masa.


Walaubagaimanapun, tidak salah jika kedatangan tahun baru ini (Masehi/hijrah) kita memasang niat dan berazam untuk mencapai sesuatu, tidak semestinya sesuatu yang besar, cukuplah ianya mengikut kemampuan kita, ukurlah baju dibadan sendiri. Azam tahun baru ini sekurang-kurangnya dapat meningkatkan nilai dan peribadi kita sebagai mahasiswa dan seorang insan.


Benarlah azam baru itu berbalik kepada diri sendiri. Sejauh mana kita menginginkan sesuatu untuk tahun itu, sejauh itulah ia akan mendorong semangat dan tindakan kita.

Sebab itu azam tahun baru ini adalah fasa terbaik untuk kita menilai dan bermuhasabah diri. Jika azam pada diri sendiri pun tidak mampu untuk kita lunas, bagaimana pula dengan harapan yang diletakkan oleh orang lain pada diri kita?


Justeru, azam baru nanti janganlah pula hanya untuk kepentingan dan keinginan sendiri. Selitkan juga janji kita untuk semua watak yang kita pegang dalam kehidupan ini.


Semoga azam tahun baru ini dapat dijadikan titik permulaan perubahan kita dan hijrah kita ke arah yang lebih baik dan cemerlang.



”Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah. - Lao Tze”.



” Semoga Tahun Ini Lebih Baik Dari Sebelumnya”


Selamat Tahun Baru

daripada kami

Gabungan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina


"Tahun Baru, Azam Baru, Harapan Baru Mahasiswa"

Read more ...

26 Disember 2008

Tahniah: UKMSat II Satelit Terbaik

SATELIT UKMSat II ciptaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul johan di Pertandingan SiswaSat Kebangsaan (SiswaSat) 2008, baru-baru ini.

Pertandingan itu anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).


Pertandingan itu berkonsepkan reka-bina-lancar dan memerlukan pelajar merekabentuk, memasang, membina, mengintegrasi, menguji dan melancarkan satelit bersaiz nano menggunakan belon helium pada ketinggian 150 meter.


Ketua pasukan UKM, Yap Kok Wai, 22, berkata mereka terkejut dengan kemenangan ini kerana sepanjang empat bulan membina UKMSat II ini, pelbagai masalah dihadapi.


Menurutnya, sebelum UKMSat II ini berjaya terapung dan dinobatkan pemenang, Yap bersama lima lagi rakannya terpaksa menerima empat kegagalan.


"Kami terpaksa membuka balik seluruh binaan kerana salah menggunakan perkakasan dan tidak tahu apakah perkakasan yang perlu digunakan.


"Selain membina UKMSat II, kami juga perlu menghasilkan satu perisian yang mampu memaparkan setiap pergerakan serta bacaan sepanjang ia terapung dan ini turut menyumbang masalah," katanya.


Bagaimanapun, berkat kesabaran, kesungguhan dan keazaman, mereka membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi, hamper dan sijil penghargaan.


Universiti Industri Selangor (Unisel) yang muncul juara tahun lalu hanya berpuas hati di tempat kedua dan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tempat ketiga.


Program Angkasa yang kini masuk tahun kedua adalah program diadaptasi dari program Pertandingan CanSat yang diadakan setiap tahun di peringkat antarabangsa dan menggunakan roket amatur sebagai pelancar.

Pemenang dinilai dari segi pematuhan syarat keperluan minimum pertandingan, dokumentasi dan pembentangan, aspek ketulenan, kreativiti, inovasi reka bentuk, kejuruteraan dan aspek pengurusan.


Tahun ini, SiswaSat disertai sembilan universiti tempatan (awam dan swasta) iaitu UKM, UIAM, Unisel, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Multimedia, Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Kuala Lumpur.. (Dipetik dari Harian Metro)


Untuk makluman semua, pertandingan ini telah diwakili oleh mahasiswa Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) UKM.



Kami GMUKM-FKAB mengucapkan TAHNIAH kepada mahasiswa dan pensyarah Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB) yang terlibat dengan pertandingan tersebut…



…GENERASI JURUTERA CEMERLANG…


Read more ...

22 Disember 2008

Malaysia juara edisi ke-14 Sukan Universiti Asean

Kutip 90 pingat emas, 79 perak dan 47 gangsa

Temasya Sukan Universiti Asean (SUA) Ke-14 berakhir secara rasmi semalam, dengan Malaysia selaku tuan rumah muncul juara keseluruhan buat julung kali selepas gah mengutip 90 pingat emas, 79 perak dan 47 gangsa daripada 22 jenis acara sukan yang dipertandingkan kali ini - sekali gus menepati sasaran untuk menuai 80 emas pada edisi kali ini.

Daripada 90 emas diperoleh kontinjen Malaysia, acara renang menjadi penyumbang terbesar emas dengan jumlah 23 diikuti menembak (13), olahraga (9), karate do (7), lawan bowl (7), badminton (7), memanah (5), silat (5), skuasy (3), ping-pong (2), taekwondo (2), ragbi 7 sebelah (2), tenpin bowling (2) dan bola tampar pantai (1).

Sejumlah 38 rekod kejohanan termasuk rekod Sukan Sea diperbaharui sepanjang SUA 2008, membabitkan tujuh atlit Malaysia, dua daripada acara olahraga dan lima daripada renang. Khoo Cai Lin turut memecah tiga rekod kebangsaan termasuk acara 400 meter gaya bebas wanita dengan catatan 4 minit 16.96 saat untuk memecah rekod 20 tahun milik Nurul Huda Abdullah.

Kami mengucapkan tahniah kepada atlit mahasiswa negara terutamanya dari UKM yang telah berjaya mengharumkan nama negara...
Read more ...

3 Disember 2008

Kebanggaan Kita: Prof. Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad

Prof. Ir. Dr. Abdul Wahab Mohammad merupakan Timbalan Dekan (Prasiswazah & Antarabangsa) Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina (FKAB) UKM telah diumumkan sebagai salah seorang pemenang untuk Anugerah Prince Sultan International Prize for Water ke-3, yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, oleh Putera Mahkota Putera Sultan bin Abdulaziz Al-Saud. Prof. Abdul Wahab diumumkan sebagai pemenang bersama dengan Saline Water Conversion Cooperation (SWCC) dari Arab Saudi bagi kategori Alternative (non-traditional) Water Resources: Innovative Methods and System for Desalination. Setiap pemenang menerima pingat emas, trofi, sijil dan wang tunai. Kedua-dua pemenang menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam penggunaan kaedah membran penapisan nano untuk aplikasi penyahgaraman. Prof. Abdul Wahab turut dijemput menyampaikan keynote lecture di 3rd International Conference on Water Resources and Arid Environments yang diadakan bersempena dengan majlis penganugerahan tersebut yang berlangsung pada 16 hingga 18 November 2008.

Sumbangan Prof. Abdul Wahab merupakan satu kaedah inovatif dalam membangunkan peranan kaedah penapisan nano dalam proses penyahgaraman. Motif utama kajian beliau adalah untuk membangunkan model prediktif untuk kaedah membran penapisan nano berdasarkan kepada persamaan Nernst-Planck dengan penggunaan serentak bagi karakterisasi, proses modeling, optimisasi rekabentuk membran serta aplikasi. Kajian Prof. Abdul Wahab dan rakan-rakan lain telah pun diterbitkan dalam pelbagai kertas kerja saintifik yang diklasifikasikan dalam 10 .hasil terbaik dalam bidang Penapisan Nano (ISI Citation Report 2007). Beliau menjalankan pelbagai kajian dalam bidang ini serta bidang-bidang lain yang berkaitan dengan beberapa sumber dana tempatan dan antarabangsa.

Prof. Abdul Wahab menerima pendidikan menengah di Maktab Tentera DiRaja, Sungai Besi dan Sekolah Sultan Badlishah, Kulim, Kedah sebelum melanjutkan pengajian di Lehigh University, Bethlehem, Pennsylvania, A.S dalam jurusan kejuruteraan kimia. Beliau kemudiannya menyambung pengajian di peringkat sarjana di bidang yang sama di Purdue University, West Lafayette, Indiana A.S (1991). Beliau kemudiannya menyambung pengajian di peringkat kedoktoran di University of Wales Swansea, U.K (1998).

Karier akademik beliau bermula dengan pelantikan sebagai tutor pada 1989, kemudiannya sebagai pensyarah pada 1991, Profesor Madya pada tahun 2000 dan sebagai Profesor pada tahun 2005 di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM. Prof. Abdul Wahab dilantik sebagai Penyelaras Latihan Industri di fakulti pada tahun 2001-2003, Ketua Jabatan di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (2003–2005), Pengarah Pusat Kejuruteraan Termaju (2005–2007), dan Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (2007–kini). Beliau juga kini adalah Ketua Kelompok Penyelidikan Bahan dan Ketua Scale-up and Downstream Processing Research Group.

Prof. Abdul Wahab turut aktif dalam beberapa pertubuhan kejuruteraan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Beliau kini adalah ahli Suruhanjaya Akreditasi Kejuruteraan (EAC) di Majlis Jurutera Malaysia (BEM) dan Lembaga Pemeriksa Institusi Jurutera Malaysia (IEM). Beliau juga adalah Felo di Institution of Chemical Engineers U.K, satu badan berdaftar untuk Jurutera Profesional (P.Eng) di Malaysia dan Chartered Engineer (CEng) di U.K.

Sepanjang karier beliau, Prof. Abdul Wahab telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, antaranya pingat emas di Geneva Exhibition (2003), Anugerah Penyelidik Muda UKM (2003), Anugerah Penyelidik UKM (2007), Anugerah Khidmat Cemerlang (2006), Felo Pelawat Penyelidik UNSW (2007) dan Felo Pelawat Penyelidik di University of Nottingham (2003 dan 2005).

Prof. Abdul Wahab menerima anugerah dari Putera Sultan bin Abdulaziz Al-Saud


Prof. Abdul Wahab memberikan keynote lecture di 3rd International Conference on Water Resources and Arid Environments
Read more ...