14 Januari 2009

SURAT TERBUKA BUAT SEMUA MAHASISWA/I UKM

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua siswa-siswi UKM, yang lahir dari rahim masyarakat, dan kelak akan kembali ke pangkuan masyarakat, mewarisi kepimpinan negara akan datang.

Surat terbuka ini ditulis khas buat semua pengundi PRK kali ini, dengan misi yang jelas, iaitu untuk menyeru seluruh mahasiswa UKM merentasi agama, kaum dan idealisme, untuk mengangkat kembali maruah dan harga diri mahasiswa, dengan mengundi calon-calon MAHASISWA yang bertapak di atas 3 asas yang jelas, iaitu Falsafah Universiti, Keilmuan dan Kebajikan.

Kami tak akan bermadah pujangga dan bersilat kata, tapi akan terus kepada fokus utama, dengan mengemukakan beberapa persoalan dasar dan fakta yang perlu dipertimbangkan sebelum anda membuat pilihan pada 15 Januari akan datang.
Ingin kami menarik perhatian semua, bahawa pada 15 Januari akan datang, kampus UKM akan meraih perhatian mahasiswa IPTA seluruh Malaysia termasuk masyarakat luar bagi melihat bagaimana PRK UKM kali ini mampu melahirkan bakat-bakat kepimpinan yang mampu melakukan perubahan signifikan dalam lapangan kampus dan masyarakat.

Secara tradisinya, dalam sejarah kemahasiswaan di Malaysia, terdapat dua kampus utama yang sering menjadi tumpuan umum setiap kali tibanya PRK, iaitu UKM dan UM. Ini kerana, sejarah telah melakarkan bahawa kedua-dua kampus ini sebagai puncak menara gading terkemuka yang telah berjaya melahirkan ramai tokoh dan pemimpin di seluruh peringkat kepimpinan negara.

Begitu istimewanya perhatian dan kedudukan kita semua di mata masyarakat. Bersama pengiktirafan ini, besar jugalah tanggungjawab yang tergalas di bahu kita. Maka, medan PRK setiap tahun adalah kayu ukur penting yang mampu mencerminkan bagaimanakah bentuk pemikiran, idealisme dan budaya politik kelompok mahasiswa di UKM.
Apakah persoalan-persoalan mendasar yang menjadi asas kepada pemilihan kepimpinan mahasiswa di peringkat kampus; serta apakah kriteria-kriteria yang diutamakan oleh mahasiswa dalam membuat pilihan.

Mari kita meneliti kembali apakah signifikansi memilih kepimpinan melalui proses PRK ini. Adakah ianya sekadar berlegar di sekitar angka-angka kerusi, populariti dan publisiti semata-mata?

Mari kita buka satu persatu. Mengutip kata-kata seorang sarjana terkemuka dunia, Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, bahawa krisis umat manusia pada hari ini, bermula daripada masalah kehilangan adab. Ini seterusnya melahirkan kekeliruan ilmu yang menyebabkan lahirnya para pemimpin yang palsu dalam setiap lapisan masyarakat.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat teraju kepimpinan mahasiswa telah diduduki oleh para pemimpin yang lahir daripada sistem dan proses PRK yang tidak adil dan berpihak.

Pemimpin-pemimpin palsu ini lahir melalui penyuburan budaya politik kotor adu-domba, politik talian hayat dan politik wang, yang didalangi beberapa individu berkepentingan, yang mengejar pangkat, kuasa dan wang.

Sangat murah harga diri mereka, kerana penglibatan mereka dalam PRK bukanlah lahir daripada idealisme dan keintelektualan secara mandiri, tetapi hanya kerana mahu menghalang para pemimpin yang layak daripada menerajui kepimpinan mahasiswa.
Menurut Al-Attas lagi, selain keilmuan, kriteria penting dalam menilai latar belakang dan kelayakan seseorang sebelum diangkat sebagai pemimpin ialah berpandukan sebuah hadis riwayat Abu Hurairah berbunyi, "Tanda-tanda orang munafik (hipokrit) ada 3 perkara, iaitu apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri, dan apabila diberi amanah ia mengkhianatinya."

Kami ingin bertanya, apakah jaminan yang boleh diberi kepada calon-calon pemimpin sekiranya sejak awal-awal lagi, mereka lahir daripada suatu budaya politik tidak sihat, politik adu-domba, politik talian hayat dan politik wang?
Apakah yang boleh kita bayangkan sekiranya calon-calon ini diangkat sebagai pemimpin kelak, apakah "vitamin" yang mampu menghalang mereka daripada menyelewengkan amanah kepimpinan itu kelak?

Apakah kita mahu melihat kepimpinan mahasiswa diterajui PARA PEMIMPIN PALSU yang lemah idealisme, mudah diperalatkan dan bersifat kepura-puraan?
Jika disorot kembali sejarah kepimpinan PMUKM, kita dapat melihat begitu jauh jurang perbezaan dan maruah mahasiswa antara sebelum 2003 dengan pasca-2003.
Sebelum 2003, iaitu ketika proses PRK dijalankan secara adil dan telus, kita menyaksikan iklim, budaya politik yang sihat dan matang, di mana mahasiswa bebas mengetengahkan idealisme masing-masing, tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Mahasiswa bertarung atas gelanggang yang sama rata, berinteraksi dan berwacana secara aktif merentasi sempadan agama, kaum dan budaya. Maruah mahasiswa ketika itu mahal dengan prinsip dan tidak sesekali menjadi pak angguk kepada mana-mana pihak, termasuk pentadbiran Universiti.

Menurut Abdullah Abdul Karim, mantan Presiden PMUKM sesi 2001/2002, pada suatu hari, beliau telah dijemput oleh TNC HEP di Danau Golf Resort tanpa terlebih dahulu menyatakan hasrat sebenar.

Selesai makan dan berbual, akhirnya TNC HEP bertanya pendiriannya tentang suatu isu. Lantas, Abdullah tegas menyatakan bahawa beliau mewakili PMUKM tidak bersetuju dengan pendirian TNC, lalu beliau mengemukakan hujah-hujahnya.
Demikian gerunnya TNC ketika itu dengan PMUKM hingga beliau meminta pandangan PMUKM sebelum berani melakukan apa-apa tindakan, kerana bimbang mahasiswa akan bangkit menyuarakan pendirian yang melawan arus. Suara mahasiswa ketika itu tidak dipandang enteng, dan prinsip mahasiswa menjadi kegerunan pihak-pihak lain.

Selepas 2003

Adakah perkara yang sama dapat dilihat sepanjang pasca-2003? Selepas PRK dicemari penipuan dan penyelewengan pasca-2003, maka lahir budaya politik kotor yang menodai iklim Universiti, sekali gus menyemai ketakutan ke dalam diri mahasiswa, terutamanya mahasiswa Tahun Pertama.
Momokan dan ugutan yang tak berasas telah ditanam kepada mahasiswa seawal Minggu Mesra Pelajar lagi, agar mahasiswa akan terus tunduk menutup mata terhadap segala kepalsuan yang berlaku di sekeliling mereka.
Dalam sebuah mesyuarat sulit antara KPT dengan TNC HEP semua IPTA, seorang TNC HEP sambil ketawa, menghina mahasiswa dengan berkata, "Jangan risau, kita tabur saja pada mereka (mahasiswa) wang kopi, 'topup' dan rokok, pasti mereka tak akan melawan cakap kita." Lihat betapa murahnya harga diri mahasiswa yang rela diperalatkan pihak berkepentingan sebagai "habis madu, sepah dibuang."
Suatu kajian dalam bidang sains sosial menyatakan bahawa sebenarnya, 95% daripada ketakutan yang wujud dalam diri manusia adalah ketakutan yang tidak mempunyai asas sama sekali.


Takut tidak berasas

Hujah-hujah palsu yang dimomokkan kepada mahasiswa kebiasaannya tergolong dalam 95% ini. Antaranya, "kalau tidak mengundi Aspirasi, tidak akan mendapat pekerjaan selepas bergraduasi", "kalau tidak mengundi Aspirasi, akan ditendang keluar dari kolej kediaman", "kalau menyatakan pendapat yang tidak sehaluan dengan kerajaan, akan dikenakan tindakan AUKU," dan 1001 lagi ugutan.

Kesemua ugutan ini langsung tidak masuk akal. Adakah sekiranya semua mahasiswa mengundi calon MAHASISWA, adakah pihak Universiti akan membuang semua mahasiswa dari kolej kediaman?

Tak masuk akal, tapi bagi mahasiswa Tahun Pertama yang baru sahaja melangkah ke kampus, mereka terpaksa tunduk dengan ugutan-ugutan ini, walhal ugutan-ugutan tersebut langsung tidak logik.

Nah, perubahan hanya dapat direalisasikan jika mahasiswa sendiri yang mahu berubah. Mahasiswa terlebih dahulu perlu letakkan diri mereka dalam agenda perubahan, sebelum iklim kotor ini mampu diubah dengan jayanya.

Manusia yang sedar adalah manusia yang tidak dapat dikalahkan. Kita tidak boleh mengharap budaya politik kotor ini boleh berubah seandainya manusia yang menghuninya enggan melakukan perubahan!

Kita tidak boleh mengharapkan keadilan tertegak seandainya kita enggan mengangkat para pemimpin yang selayaknya di tampuk PMUKM!
Justeru, ayuhlah kita bersatu dan berubah, dengan menunjukkan kuasa mahasiswa yang sebenarnya. Apakah kita boleh sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan dengan ugutan dan momokan tidak berasas?

Apakah asas dan penilaian kita dalam mengangkat KEPIMPINAN YANG TULEN di Universiti? Hanya kita mengetahui jawapan hakiki kerana jawapannya sudah ada dalam diri kita sendiri.
Kitalah yang bertanggungjawab mengayuh perubahan, kerana kepimpinan mahasiswa datang daripada dokongan dan kehendak seluruh mahasiswa yang cintakan Universiti, Keilmuan dan Kebajikan!

15 Januari 2009, bakal menjadi tarikh keramat yang tercatat dalam sejarah mahasiswa Malaysia, dan marilah kita menjadi watak-watak penting dalam melakar sejarah ini, yang bakal diceritakan kepada anak cucu kita pada masa akan datang.
Selamat mengundi untuk mahasiswa, dan selamat BERSATU DAN BERUBAH ke arah menjayakan tiga agenda kita, iaitu Falsafah Universiti, Keilmuan dan Kebajikan. Kita mampu mengubahnya!

"BERSATU DAN BERUBAH"
GABUNGAN MAHASISWA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Tamat isi surat. Sejauh manakah isi kandungan surat ini berkesan atau tidak dalam usaha mempengaruhi pemikiran khalayak pembaca, warga UKM, itu akan dapat diketahui pada waktu pembuangan undi kelak.

Semua ini terserah kepada saudara dan kebijaksanaan mengangkat siapa pemimpin yang saudara fikirkan terbaik demi kebaikan yang berterusan. Undilah calon kita dengan sikap berhemah dan penuh bertanggungjawab..