30 Disember 2009

Perutusan Duta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

 Assalamualaikum Waramatullah dan Salam Sejahtera,

Tahun 2009 hampir menutup tirainya dan kini muncul tahun 2010. Pada kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2009, tidak terlambat juga Salam Maal Hijrah 1431H, Selamat Hari Natal, kepada seluruh warga Fakulti dengan harapan semoga di tahun ini kita akan dapat mengekalkan kecemerlangan bukan sahaja terhadap diri sendiri, akademik, tetapi juga terhadap kematangan dalam berfikir. Saya juga mengucapkan selamat kembali kepada warga fakulti dan para pensyarah yang telah bercuti dengan harapan agar terus membawa azam baru ke arah kecemerlangan bersama fakulti.

Sekalung tahniah kepada warga fakulti kerana telah berjaya meningkatkan taraf dengan kenaikan gred dan ini membuktikan bahawa kecemerlangan itu sebenarnya boleh dicapai oleh kita semua. Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha keras anda semua dengan bersungguh-sungguh secara ’ teamwork ’ aktif, kreatif serta inovatif terhadap tugas yang diamanahkan dan tiada sesiapa yang dapat menafikan semua ini. Kejayaan ini adalah sebagai bukti bahawa warga fakulti sebenarnya berada di landasan yang betul sebagaimana yang telah digariskan oleh pihak atasan fakulti yang menekankan pembelajran sepanjang hayat. Bagi mereka yang memiliki nilai purata gred yang minimum teruskan usaha dan langkah and untuk menggilap, dan mencapai kecemerlangan.

Kampus bakal menghadapi suatu hari yang menjadi detik penentuan kepada terzahirnya jawapan persoalan siapakah yang bakal meneraju Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) sesi 2009/2010 bagi menghadapi era yang lebih mencabar. Januari 2010 merupakan bulan keramat untuk warga kampus UKM turun ke medan dan melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka untuk memilih calon-calon yang bakal mewakili mereka samada di peringkat fakulti mahupun umum. Di sinilah akan dibuktikan betapa besarnya kuasa mahasiswa dalam menentukan masa depan corak pemerintahan kampus yang menjadi tunjang asas pemerintahan negara.

Di dalam pilihanraya kali ini, mahasiswa masih lagi kekal membawa slogan ”Mahasiswa Menuntut Perubahan.” Slogan ini adalah dianggap sebagai satu ancaman oleh sesetengah pihak kerana dikatakan seolah-olah mahasiswa bersikap memberontak dan tidak bersyukur dengan segala kemudahan yang diperolehi khasnya dalam konteks di peringkat pengajian tinggi. Ada juga yang menganggap mahasiswa yang mengkritik kerajaan adalah sebagai golongan militan, anti-establishment dan tidak mempunyai wawasan akademik. Justeru, mahasiswa mula diugut dan ditekan dengan pelbagai undang-undang seperti AUKU, ISA, Aku Janji termasuklah para pentadbir universiti yang bertindak jahat serta mengongkong ke atas para pemimpin mahasiswa. Doktrin-doktrin dan tindakan seperti ini telah disogok ke seluruh kampus tanah air sehingga wujud suasana takut (culture of fear) di kalangan mahasiswa. Akhirnya terbentuklah satu suasana persekitaran yang pasif dan tidak peka terhadap perkembangan isu-isu semasa. Mahasiswa telah dihanyutkan dengan budaya hedoisme yang melampau yang akhirnya menimbulkan tanda tanya, apakah mahasiswa kini bersedia untuk meneruskan teraju pemerintahan negara pada masa mendatang? Namun demikian, usaha mesti diteruskan ke arah memastikan kepimpinan mahasiswa akan terus unggul mendepani cabaran globalisasi.

Situasi-situasi sebegini menimbulkan kerisauan di kalangan para mahasiswa dan kegembiraan kepada pihak atasan Universiti yang takutkan suara keramat mahasiswa. Walaupun tekanan demi tekanan dikenakan ke atas mahasiswa, namun perjuangan tetap diteruskan. Mahasiswa melahirkan kebimbangan kepada keadaan kampus kita yang dewasa ini, kes kecurian, Sistem Penilain Gred Kendiri(SPKG), kenaikan harga kolej, isu pembuangan kolej, ugutan fellow-fellow kolej, penarikan biasiswa dan sebagainya meletakkan mahasiswa dalam keadaan yang tidak seimbang dan bahaya. Kampus UKM kini menuntut kepada perubahan sistem pemerintahan yang lebih komprehensif dan mengambil kira segala perkara.Kampus memerlukan satu transformasi yang benar-benar boleh menjamin keselesaan belajar. Kampus kita kini menuntut ke arah reformasi yang mengubah tampuk pemerintahan PMUKM, bersih dari sebarang doktrin-doktrin ugutan serta penipuan.

Justeru, Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) menyeru mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina agar memastikan tuntutan perubahan menjadi satu kenyataan. Buat warga fakulti kejuruteraan, jadikanlah panduan iman dan nilai-nilai moral sebagai panduan memilih siapa dan parti mana yang layak memerintah Univesiti Kebangsaan Malaysia. Kita tidak mahu lagi keterbasan kita dikawal dalam menentukan gaya pemikiran yang berloggokan dengan krisis moral yang tiada penyelesaiannya. Selamat mengundi... MAHASISWA MENUNTUT PERUBAHAN.

Disediakan oleh

MOHD FAIZAL BIN AHMAD
Duta Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia(GMUKM)
Fakulti Kejuruteraan Dan Alam Bina UKM