17 Mei 2011

Selamat Menyambut Ulang Tahun UKM yang ke-41

Peta perjalanan sejarah untuk membina sebuah universiti yang berteraskan kaum Melayu cukup lama, bersimpang siur, bermasalah dan penuh kesulitan. Ia telah melalui pelbagai tahap perkembangannya serta melibatkan ramai cendikiawan dan pemikir. Oleh itu, apabila Universiti Kebangsaan Malaysia secara rasmi pada 18 Mei 1970 ditubuhkan, ia mengungkapkan bukan sedikit bingkisan sejarah dan impian bangsa Malaysia sendiri.


Dengan pembinaan tapak sementara Universiti di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, kemudian di kampus tetapnya di Bandar Baru Bangi sangat dinanti-nantikan oleh pejuang jati negara ketika itu. Hasil cetusan idea pada dekad kedua abad ke-20 oleh Encik Zainal Abidin bin Ahmad (atau lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba) dan Abdul Kadir Adabi juga hasil kesedaran terhadap kedhaifan pendidikan rakyat terbanyak (Mohd Zahari Daud).

Pendeta Za’ba (1895-1973) yang merupakan seorang ahli bahasa yang banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu ketika itu telah menyarankan penubuhan sebuah pusat pengajian bertaraf universiti ditubuhkan untuk menampung ribuan lulusan sistem persekolahan melayu yang ketika itu tidak dapat meneruskan pengajian. Beliau sangat yakin dengan keupayaan bahasa melayu sebagai bahasa ilmu tinggi telah menyarankan penggunaan Bahasa Melayu secara menyeluruh sepanjang pengajian.

Kenyataan beliau ini telah disokong Encik Abdul Kadir Adabi (1901-1944) yang mencadangkan supaya sebuah universiti ditubuhkan khusus untuk orang Melayu. Walaupun Encik Abdul Kadir tidak menyebut secara jelas berkenaan bahasa pengantar bagi universiti ini, tetapi para pengkaji sejarah menyimpulkan Encik Abdul Kadir secara bijaksana telah mengaitkan idea penubuhan universiti ini dengan keperluan pendidikan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Cetusan idea bersejarah ini tidak menarik perhatian penjajah British dan pembesar Melayu yang rapat dengan British. Mereka memberi alasan rakyat kebanyakan tidak akan yakin dengan idea ini, walhal dasar penjajah itu sendiri tidak memberi ruang pelajaran tinggi kepada rakyat di Tanah Melayu ketika itu. (Mohd Zahari Daud)

Idea ini bagaimanapun disambut baik oleh Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung yang mahukan pendaulatan Bahasa Melayu di segenap peringkat universiti biarpun idea ini tidak mendapat restu pemerintah ketika itu. Idea gagasan ini terus dihangatkan sepanjang sekitar dekad empat puluhan dan lima puluhan oleh pihak Persekutuan yang berusaha untuk mengangkat bahasa Melayu di pentas pendidikan kebangsaan negara sendiri. Pihak Persekutuan Guru-Guru Semenanjung gigih meningkatkan darjat persekolahan aliran Melayu sehingga ramai di kalangan para pelajar Melayu berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti khususnya ke luar negara.


Ia membuahkan hasil apabila ramai anak bangsa yang telah melanjutkan pelajaran ke luar negara dahulu kembali berkhidmat di dalam negara selepas era kemerdekaan dan melontarkan idea-idea yang bernas. Pada tahun 1963, Seminar Bahasa dan Sastera telah diadakan . Resolusi di akhir seminar ini adalah menuntut penubuhan sebuah universiti ‘benar-benar bercorak kebangsaan’ dengan dikemukakan hujah-hujah jelas yang dipetik daripada fakta dan kenyataan sejarah negara. Juga tuntutan kepada penubuhan sebuah ‘Universiti Islam’ juga turut dibahaskan. Tuntutan-tuntutan ini diulang-ulang dan perbincangan mengenai penubuhannya dibentang kembali secara terperinci sehingga ia dimuktamadkan pada tahun 1968.

Jawatankuasa Penubuhan UKM ditubuh


Pada Jun 1968, beberapa orang cendekiawan Melayu telah bertemu, bersumbang-saran lalu menggabungkan pemikiran dan pendapat masing-masing di samping membawa isihati rakyat negara ketika itu. Zainal Abidin Wahid. A. Bakar Hamid, Tunku Shamsul Bahrin, Zain A. Majid, Mohd. Ghazali A. Rahman, S. Husin Ali dan sekadar menyebut beberapa nama kemudiannya menukilkan konsep Universiti yang dituntut oleh mereka dalam konteks realiti negara yang baru berusia sepuluh tahun ketika itu. Tidak ketinggalan golongan yang menuntut penubuhan sebuah universiti Islam yang dipimpin oleh Allahyarham Dr. Ungku Omar turut berganding bahu dengan kumpulan penaja penubuhan universiti beraliran kebangsaan ini. Kata sepakat dicapai. Tuntutan penubuhan sebuah universiti aliran Melayu dan "universiti yang benar-benar bercorak kebangsaan" dan sebuah "Universiti Islam" telah berpadu yang kemudian melahirkan penubuhan bermakna selang tiga tahun kemudian.

Dalam pada itu, idea gagasan bersejarah ini telah disambut dengan baik oleh persatuan-persatuan penulis, budaya, belia, pelajar, mahasiswa dan pendidik, lalu dikembangkan dalam kesedaran dan pandangan sejarah bangsa Melayu. Dikisahkan pada detik tersebut kemaraan kehendak dan gelojak hati rakyat tidak lagi dapat ditahan. Di mana-mana rakyat sibuk berbicara akan penubuhan sebuah universiti bercorak kebangsaan, di mana pensyarahnya sendiri bakal mengajar anak bangsa mereka sendiri. Rakyat ketika itu juga menginsafi akan hak mereka untuk menubuhkan sebuah universiti ‘rakyat’ mereka sendiri.

Pada 25 Ogos 1968, sebuah Jawatankuasa Penganjur Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia secara rasmi telah ditubuhkan. Tokoh yang terlibat ialah Zainal Abidin Wahid, Abu Bakar Hamid, Tunku Shamsul Bahrin, Syed Husin Ali dan lain-lain. Hasil usaha yang komited daripada jawatankuasa penaja ini telah melakarkan sebuah sejarah yang sangat bermakna buat semua.

18 Mei- Tarikh Keramat

Tarikh keramat 18 Mei 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah ditubuhkan secara rasmi. Kampus sementaranya terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Bandar Baru Bangi setelah bangunan siap. Universiti ini hasil gabungan citarasa ‘kebangsaan’ dan ’Islam’. Pelajar sulungnya seramai 192 orang. Terdapat tiga buah fakulti perintis iaitu Fakulti Sastera, Fakulti Sains dan Fakulti Islam.

Penubuhan UKM ini telah disulami dengan pasak yang jelas iaitu Falsafah UKM yang menjadi kebanggaan warga Universiti. ‘Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan’ Universiti’ adalah jelas implementasi visi yang jelas yang mudah dihadami setiap warganya agar bergerak seiring dengan aspirasi hasrat mulia pelopor penubuhan UKM suatu ketika dahulu yang menginginkan sebuah ‘Universiti Islam bercorak Kebangsaan’.

Juga asas penubuhan Universiti yang disebut di semasa perasmian Universiti pada 18 Mei 1970 lalu, yang terang-terang menyebut, ‘penubuhan UKM adalah demi mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu.’ UKM juga diletakkan sebagai kemuncak dalam mengukuhkan sistem pelajaran kebangsaan di samping meletakkan sasaran melahirkan warganegara yang setianya kepada negara ini. Di samping UKM berperanan menampung lulusan sekolah menengah aliran Melayu ,ia juga memainkan peranan mengeluarkan siswazah yang sihat, berpandangan serta berfikiran luas.

Bak kata Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM yang juga merupakan Profesor Ulung Negara, Prof. Dato' Dr. Shamsul Amri Baharuddin, “Universiti ini merupakan tapak semaian ahli akademik universiti baru di Malaysia.”

Sungguhpun asas sejarah penubuhan universiti ini bertitik-tolak daripada tuntutan rakyat Bumiputera di Semenanjung Malaysia dan berakarkan konsep nasionalisme, namun hasil yang timbul dari pemikiran ini adalah sebuah ‘Universiti Kebangsaan’ untuk seluruh rakyat Malaysia. Idea ini ialah tunas pertama yang amat penting yang tumbuh dari semaian benih gagasan pejuang terdahulu.

Selamat Hari Ulang Tahun Ke-41 , UKM.

"Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti"


Mohamad Ezuan Mohd Saad,
Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa UKM
Sesi 2010-2011

Kredit: Blog PMUKM