30 Januari 2009

Forum MAHASISWA

Kubik Minda: GERAKAN MAHASISWA PASCA PRK 2009

Video: Bahagian 1
Video: Bahagian 2

Read more ...

16 Januari 2009

Tahniah & Terima Kasih Kerana Mengundi GMUKM

Nantikan kemenangan MAHASISWA pada sesi depan...
"BERSATU BERUBAH"
"BERUBAH kepada KEBENARAN"
Read more ...

14 Januari 2009

SURAT TERBUKA BUAT SEMUA MAHASISWA/I UKM

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua siswa-siswi UKM, yang lahir dari rahim masyarakat, dan kelak akan kembali ke pangkuan masyarakat, mewarisi kepimpinan negara akan datang.

Surat terbuka ini ditulis khas buat semua pengundi PRK kali ini, dengan misi yang jelas, iaitu untuk menyeru seluruh mahasiswa UKM merentasi agama, kaum dan idealisme, untuk mengangkat kembali maruah dan harga diri mahasiswa, dengan mengundi calon-calon MAHASISWA yang bertapak di atas 3 asas yang jelas, iaitu Falsafah Universiti, Keilmuan dan Kebajikan.

Kami tak akan bermadah pujangga dan bersilat kata, tapi akan terus kepada fokus utama, dengan mengemukakan beberapa persoalan dasar dan fakta yang perlu dipertimbangkan sebelum anda membuat pilihan pada 15 Januari akan datang.
Ingin kami menarik perhatian semua, bahawa pada 15 Januari akan datang, kampus UKM akan meraih perhatian mahasiswa IPTA seluruh Malaysia termasuk masyarakat luar bagi melihat bagaimana PRK UKM kali ini mampu melahirkan bakat-bakat kepimpinan yang mampu melakukan perubahan signifikan dalam lapangan kampus dan masyarakat.

Secara tradisinya, dalam sejarah kemahasiswaan di Malaysia, terdapat dua kampus utama yang sering menjadi tumpuan umum setiap kali tibanya PRK, iaitu UKM dan UM. Ini kerana, sejarah telah melakarkan bahawa kedua-dua kampus ini sebagai puncak menara gading terkemuka yang telah berjaya melahirkan ramai tokoh dan pemimpin di seluruh peringkat kepimpinan negara.

Begitu istimewanya perhatian dan kedudukan kita semua di mata masyarakat. Bersama pengiktirafan ini, besar jugalah tanggungjawab yang tergalas di bahu kita. Maka, medan PRK setiap tahun adalah kayu ukur penting yang mampu mencerminkan bagaimanakah bentuk pemikiran, idealisme dan budaya politik kelompok mahasiswa di UKM.
Apakah persoalan-persoalan mendasar yang menjadi asas kepada pemilihan kepimpinan mahasiswa di peringkat kampus; serta apakah kriteria-kriteria yang diutamakan oleh mahasiswa dalam membuat pilihan.

Mari kita meneliti kembali apakah signifikansi memilih kepimpinan melalui proses PRK ini. Adakah ianya sekadar berlegar di sekitar angka-angka kerusi, populariti dan publisiti semata-mata?

Mari kita buka satu persatu. Mengutip kata-kata seorang sarjana terkemuka dunia, Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, bahawa krisis umat manusia pada hari ini, bermula daripada masalah kehilangan adab. Ini seterusnya melahirkan kekeliruan ilmu yang menyebabkan lahirnya para pemimpin yang palsu dalam setiap lapisan masyarakat.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat teraju kepimpinan mahasiswa telah diduduki oleh para pemimpin yang lahir daripada sistem dan proses PRK yang tidak adil dan berpihak.

Pemimpin-pemimpin palsu ini lahir melalui penyuburan budaya politik kotor adu-domba, politik talian hayat dan politik wang, yang didalangi beberapa individu berkepentingan, yang mengejar pangkat, kuasa dan wang.

Sangat murah harga diri mereka, kerana penglibatan mereka dalam PRK bukanlah lahir daripada idealisme dan keintelektualan secara mandiri, tetapi hanya kerana mahu menghalang para pemimpin yang layak daripada menerajui kepimpinan mahasiswa.
Menurut Al-Attas lagi, selain keilmuan, kriteria penting dalam menilai latar belakang dan kelayakan seseorang sebelum diangkat sebagai pemimpin ialah berpandukan sebuah hadis riwayat Abu Hurairah berbunyi, "Tanda-tanda orang munafik (hipokrit) ada 3 perkara, iaitu apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri, dan apabila diberi amanah ia mengkhianatinya."

Kami ingin bertanya, apakah jaminan yang boleh diberi kepada calon-calon pemimpin sekiranya sejak awal-awal lagi, mereka lahir daripada suatu budaya politik tidak sihat, politik adu-domba, politik talian hayat dan politik wang?
Apakah yang boleh kita bayangkan sekiranya calon-calon ini diangkat sebagai pemimpin kelak, apakah "vitamin" yang mampu menghalang mereka daripada menyelewengkan amanah kepimpinan itu kelak?

Apakah kita mahu melihat kepimpinan mahasiswa diterajui PARA PEMIMPIN PALSU yang lemah idealisme, mudah diperalatkan dan bersifat kepura-puraan?
Jika disorot kembali sejarah kepimpinan PMUKM, kita dapat melihat begitu jauh jurang perbezaan dan maruah mahasiswa antara sebelum 2003 dengan pasca-2003.
Sebelum 2003, iaitu ketika proses PRK dijalankan secara adil dan telus, kita menyaksikan iklim, budaya politik yang sihat dan matang, di mana mahasiswa bebas mengetengahkan idealisme masing-masing, tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Mahasiswa bertarung atas gelanggang yang sama rata, berinteraksi dan berwacana secara aktif merentasi sempadan agama, kaum dan budaya. Maruah mahasiswa ketika itu mahal dengan prinsip dan tidak sesekali menjadi pak angguk kepada mana-mana pihak, termasuk pentadbiran Universiti.

Menurut Abdullah Abdul Karim, mantan Presiden PMUKM sesi 2001/2002, pada suatu hari, beliau telah dijemput oleh TNC HEP di Danau Golf Resort tanpa terlebih dahulu menyatakan hasrat sebenar.

Selesai makan dan berbual, akhirnya TNC HEP bertanya pendiriannya tentang suatu isu. Lantas, Abdullah tegas menyatakan bahawa beliau mewakili PMUKM tidak bersetuju dengan pendirian TNC, lalu beliau mengemukakan hujah-hujahnya.
Demikian gerunnya TNC ketika itu dengan PMUKM hingga beliau meminta pandangan PMUKM sebelum berani melakukan apa-apa tindakan, kerana bimbang mahasiswa akan bangkit menyuarakan pendirian yang melawan arus. Suara mahasiswa ketika itu tidak dipandang enteng, dan prinsip mahasiswa menjadi kegerunan pihak-pihak lain.

Selepas 2003

Adakah perkara yang sama dapat dilihat sepanjang pasca-2003? Selepas PRK dicemari penipuan dan penyelewengan pasca-2003, maka lahir budaya politik kotor yang menodai iklim Universiti, sekali gus menyemai ketakutan ke dalam diri mahasiswa, terutamanya mahasiswa Tahun Pertama.
Momokan dan ugutan yang tak berasas telah ditanam kepada mahasiswa seawal Minggu Mesra Pelajar lagi, agar mahasiswa akan terus tunduk menutup mata terhadap segala kepalsuan yang berlaku di sekeliling mereka.
Dalam sebuah mesyuarat sulit antara KPT dengan TNC HEP semua IPTA, seorang TNC HEP sambil ketawa, menghina mahasiswa dengan berkata, "Jangan risau, kita tabur saja pada mereka (mahasiswa) wang kopi, 'topup' dan rokok, pasti mereka tak akan melawan cakap kita." Lihat betapa murahnya harga diri mahasiswa yang rela diperalatkan pihak berkepentingan sebagai "habis madu, sepah dibuang."
Suatu kajian dalam bidang sains sosial menyatakan bahawa sebenarnya, 95% daripada ketakutan yang wujud dalam diri manusia adalah ketakutan yang tidak mempunyai asas sama sekali.


Takut tidak berasas

Hujah-hujah palsu yang dimomokkan kepada mahasiswa kebiasaannya tergolong dalam 95% ini. Antaranya, "kalau tidak mengundi Aspirasi, tidak akan mendapat pekerjaan selepas bergraduasi", "kalau tidak mengundi Aspirasi, akan ditendang keluar dari kolej kediaman", "kalau menyatakan pendapat yang tidak sehaluan dengan kerajaan, akan dikenakan tindakan AUKU," dan 1001 lagi ugutan.

Kesemua ugutan ini langsung tidak masuk akal. Adakah sekiranya semua mahasiswa mengundi calon MAHASISWA, adakah pihak Universiti akan membuang semua mahasiswa dari kolej kediaman?

Tak masuk akal, tapi bagi mahasiswa Tahun Pertama yang baru sahaja melangkah ke kampus, mereka terpaksa tunduk dengan ugutan-ugutan ini, walhal ugutan-ugutan tersebut langsung tidak logik.

Nah, perubahan hanya dapat direalisasikan jika mahasiswa sendiri yang mahu berubah. Mahasiswa terlebih dahulu perlu letakkan diri mereka dalam agenda perubahan, sebelum iklim kotor ini mampu diubah dengan jayanya.

Manusia yang sedar adalah manusia yang tidak dapat dikalahkan. Kita tidak boleh mengharap budaya politik kotor ini boleh berubah seandainya manusia yang menghuninya enggan melakukan perubahan!

Kita tidak boleh mengharapkan keadilan tertegak seandainya kita enggan mengangkat para pemimpin yang selayaknya di tampuk PMUKM!
Justeru, ayuhlah kita bersatu dan berubah, dengan menunjukkan kuasa mahasiswa yang sebenarnya. Apakah kita boleh sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan dengan ugutan dan momokan tidak berasas?

Apakah asas dan penilaian kita dalam mengangkat KEPIMPINAN YANG TULEN di Universiti? Hanya kita mengetahui jawapan hakiki kerana jawapannya sudah ada dalam diri kita sendiri.
Kitalah yang bertanggungjawab mengayuh perubahan, kerana kepimpinan mahasiswa datang daripada dokongan dan kehendak seluruh mahasiswa yang cintakan Universiti, Keilmuan dan Kebajikan!

15 Januari 2009, bakal menjadi tarikh keramat yang tercatat dalam sejarah mahasiswa Malaysia, dan marilah kita menjadi watak-watak penting dalam melakar sejarah ini, yang bakal diceritakan kepada anak cucu kita pada masa akan datang.
Selamat mengundi untuk mahasiswa, dan selamat BERSATU DAN BERUBAH ke arah menjayakan tiga agenda kita, iaitu Falsafah Universiti, Keilmuan dan Kebajikan. Kita mampu mengubahnya!

"BERSATU DAN BERUBAH"
GABUNGAN MAHASISWA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Tamat isi surat. Sejauh manakah isi kandungan surat ini berkesan atau tidak dalam usaha mempengaruhi pemikiran khalayak pembaca, warga UKM, itu akan dapat diketahui pada waktu pembuangan undi kelak.

Semua ini terserah kepada saudara dan kebijaksanaan mengangkat siapa pemimpin yang saudara fikirkan terbaik demi kebaikan yang berterusan. Undilah calon kita dengan sikap berhemah dan penuh bertanggungjawab..
Read more ...

10 Januari 2009

APAKAH SUMBANGAN MPPUKM PRO-MAHASISWA ???

KEBAJIKAN MAHASISWA/I DIUTAMAKAN

PERUTUSAN AHLI MPP

FAKULTI PENDIDIKAN SESI 2007/08

AHMAD FARHAN JUSOH (FPEND/4) &

MOHAMAD FADLAIL YADAIN BAHAROM (FPEND/3)

Assalamualaikum w.b.k. dan Salam Mahasiswa

Saudara/i,

MPP FPend sesi 2007/08 tidak diberi sebarang jawatan Exco ataupun Timbalan Exco dalam kabinet Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) 2007/08. Walaubagaimanapun, MPP FPend tetap berusaha menjalankan amanah dan tanggungjawab mengikut ruang yang ada khususnya dalam memperjuangkan keadilan dan kebajikan mahasiswa/i.

Surat Memohon Elaun kepada Mahasiswa/i Praktikum

MPP FPend telah menghantar surat kepada PTPTN pada 24 Mac 2008 untuk memohon elaun praktikum kepada mahasiswa/i Tahun Tiga Fakulti Pendidikan UKM biayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional yang terlibat dengan praktikum. Rasionalnya ialah mahasiswa/i tersebut terpaksa menanggung sendiri kos sara hidup semasa praktikum di sekolah-sekolah yang ditetapkan selama lapan minggu bermula 12 Mei 2008 hingga 14 julai 2008. Tambahan pula, tidak semua mahasiswa/i tersebut mendapat elaun daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Namun, pihak PTPTN telah menghantar surat dukacita pada 9 April 2008.


Surat Semakan Semula Yuran Pelajar

MPP FPend telah menghantar surat kepada Bendahari UKM pada 28 Julai 2008 memohon agar membuat penyemakan semula terhadap beberapa yuran pelajar seperti berikut; Yuran Elektrik RM25 setiap pelajar, Yuran Khas Alumni RM50 setiap pelajar, kenaikan Yuran Khas Aktiviti Kolej dari RM80 kepada RM100, Jumlah yuran bagi setiap kolej di UKM yang berbeza-beza.

Sehubungan dengan itu, MPP FPend memohon agar pihak Bendahari UKM :

· Menjelaskan kemunasabahan penetapan Yuran Elektrik, Yuran Khas Alumni dan kenaikan Yuran Khas Aktiviti Kolej.

· Menjelaskan perkhidmatan yang diperolehi oleh setiap mahasiswa/i daripada penetapan Yuran Khas Alumni dan Yuran Khas Aktiviti Kolej.

· Menjelaskan perbezaan yuran bagi kolej-kolej di bawah pentadbiran UKM

Sekiranya penetapan dan kenaikannya tidak munasabah, MPP FPend menggesa agar yuran tersebut dihapuskan dan dikembalikan kepada mahasiswa/i bagi mengurangkan bebanan ekonomi mahasiswa/i.

Surat Aduan : Buku Panduan Fakulti & Keputusan Praktikum

MPP FPend telah mengemukakan Surat Aduan kepada Timbalan Dekan (Pra-Siswazah) Fakulti Pendidikan dan Dekan Fakulti Pendidikan pada 18 September 2008 agar mempercepatkan pengagihan Buku Panduan Fakulti Pendidikan kepada mahasiswa/i tahun satu dan menyegerakan pengeluaran keputusan praktikum mahasiswa/i tahun empat rentetan aduan daripada mahasiswa/i berkenaan.


Menguruskan Urusan Mahasiswa/i Pengajian Tiga Tahun Setengah

Seramai 35 orang mahasiswa/i Fakulti Pendidikan kemasukan 2005/2009 akan menamatkan pengajian selama 3 tahun setengah. 30 orang daripada Pendidikan al-Quran dan Pendidikan Islam, empat orang daripada Pendidikan Sains dan seorang daripada Pendidikan Khas. Pada peringkat awal, MPP FPend mengambil inisiatif membantu mereka untuk mendapatkan kurusus-kursus yang perlu dilengkapkan sebelum tamat pengajian. Kemudian, MPP FPend bersama rakan-rakan dengan bantuan pentadbiran fakulti menguruskan urusan penempatan mahasiswa/i tersebut dengan Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia


Kad Selamat Berpersatuan

Dalam tempoh Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P) 21 hingga 25 Julai 2008, MPP FPend telah menghantar Kad Selamat Berpersatuan kepada Presiden-presiden atau Yang Di Pertua-Yang Di Pertua Persatuan, Kelab dan JAKSA. Antara perkara yang dikemukakan dalam kad tersebut ialah seruan untuk memperjuangkan falsafah UKM, kebajikan mahasiswa/i dan nilai keintelektualan dalam penganjuran program-program dan aktiviti berpersatuan.


Petisyen Membantah Kewujudan Kelab Aspirasi di Kolej Kediaman

Bagi menegakkan keadilan kepada semua kelompok mahasiswa/i, MPP FPend bersama MPP FPI telah menghantar Petisyen Membantah Kewujudan Kelab Aspirasi di Kolej Kediaman kepada Pejabat Naib Canselor pada 22 Ogos 2008. Rasionalnya ialah Kelab Aspirasi telah menzahirkan kelab mereka terlibat secara langsung dalam Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sedangkan ia bersalahan dengan perenggan 66.3 peraturan 66 Buku Panduan Calon PRK 2007 yang menyatakan bahawa calon-calon tidak dibenarkan bertanding secara kumpulan. Dalam masa yang sama, kelompok bukan Kelab Aspirasi tidak boleh menzahirkan kumpulan mereka. Bukan tujuan MPP FPend untuk bermusuh dengan mana-mana individu atau kelompok, namun menjadi tanggungjawab MPP FPend menyampaikan suara-suara hati kecil mahasiswa/i UKM khususnya yang tinggal di kolej.


Memorandum PRK Adil & Berdemokrasi

Kebajikan mahasiswa/i bukan sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga kebajikan emosi. Bagi memberi ruang kepada mahasiswa/i memilih kepimpinan mahasiswa/i yang berkualiti tanpa ada unsur ugutan, paksaan dan ketakutan di samping menambahbaikkan lagi sistem perjalanan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, MPP FPend bersama MPP FPI telah menghantar Memorandum PRK Adil dan Berdemokrasi kepada Pejabat Naib Canselor pada 15 September 2008. Sebanyak sembilan tuntutan dikemukakan iaitu :

· Tempat pengundian ditukar ke Fakulti dan bukan lagi di Kolej Kediaman

· Menukarkan sistem Peti Undi mengikut tahun kepada sistem Peti Undi semua tahun

· Tarikh Pilihanraya Kampus ditukar daripada Semester I kepada Semester II

· Mewujudkan satu jawatankuasa pemantau pilihanraya yang benar-benar telus

· Mewujudkan kembali Malam Manifesto Calon

· Menghapuskan nombor siri pada kertas undi

· Pengumuman keputusan pengiraan undi hendaklah dijalankan mengikut undang-undang

· Larangan Kelab Aspirasi untuk terlibat secara langsung dalam Pilihanraya Kampus

· Wakil Calon hendaklah terdiri daripada pelajar Fakulti sama dengan Calon sahaja dan bukannya mengikut persamaan kolej

Tuan Haji Mohd. Abd. Rashid Mohd Fadzil

Bendahari UKM,

Universiti Kebangsaan Malaysia,

43600 Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Tuan,

MEMOHON SEMAKAN SEMULA YURAN PELAJAR

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk untuk makluman dan tindakan pihak tuan.

2. Berhubung dengan perkara di atas, saya mewakili suara mahasiswa/i UKM ingin memohon agar pihak tuan membuat penyemakan semula terhadap yuran pelajar seperti berikut :

2.1. Yuran Elektrik RM25 setiap pelajar

2.2. Yuran Khas Alumni RM50 setiap pelajar

2.3. Kenaikan Yuran Khas Aktiviti Kolej dari RM80 kepada RM100

2.4. Jumlah yuran bagi setiap kolej di UKM yang berbeza-beza

3. Sehubungan dengan itu, pihak kami memohon agar pihak tuan :

3.1. Menjelaskan kemunasabahan penetapan Yuran Elektrik, Yuran Khas Alumni dan kenaikan Yuran Khas Aktiviti Kolej.

3.2. Menjelaskan perkhidmatan yang diperolehi oleh setiap mahasiswa/i daripada penetapan Yuran Khas Alumni dan Yuran Khas Aktiviti Kolej.

3.3. Menjelaskan perbezaan yuran bagi kolej-kolej di bawah pentadbiran UKM.

4. Justeru, sekiranya penetapan dan kenaikannya tidak munasabah, pihak kami menggesa agar yuran tersebut dihapuskan dan dikembalikan kepada mahasiswa/i. Segala pertimbangan dan perhatian segera oleh pihak tuan terhadap perkara ini bagi mengurangkan bebanan ekonomi mahasiswa/i amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

“MENGILHAMKAN HARAPAN, MENCIPTA MASA DEPAN”

Yang menjalankan tugas,

………………………………………….

AHMAD FARHAN BIN JUSOH

Majlis Perwakilan Pelajar,

Fakulti Pendidikan,

Universiti Kebangsaan Malaysia

s.k. - Fail MPP Fakulti Pendidikan UKM

Naib Canselor UKM

Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) Kolej-kolej UKM


______________________________________________________________________

Rujukan :MPPFpend0708 /UKM/08/5

Tarikh : 18 September 2008

Dr. Norlena Salamuddin

Timbalan Dekan (Pra-Siswazah),

Fakulti Pendidikan,

Universiti Kebangsaan Malaysia,

43600 Bangi, Selangor.

Dr.,

ADUAN PELAJAR

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.

2. Berhubung dengan perkara di atas, saya ingin mengemukakan aduan mahasiswa/i Fakulti Pendidikan seperti berikut :

· Aduan daripada mahasiswa/i tahun empat : keputusan praktikum masih belum dikeluarkan walaupun sembilan minggu telah berlalu tempoh praktikum.

· Aduan daripada mahasiswa/i tahun satu : belum mendapat buku Panduan Prasiswazah Fakulti Pendidikan sesi akademik 2008-2009.

3. Sehubungan dengan itu, saya mewakili suara mahasiswa/i Fakulti Pendidikan memohon agar :

· Mempercepatkan pengeluaran keputusan praktikum bagi tahun empat.

· Menyegerakan pengagihan buku Panduan Prasiswazah Fakulti Pendidikan sesi akademik 2008-2009 kepada mahasiswa/i tahun satu.

4. Segala pertimbangan dan perhatian segera oleh pihak Dr. terhadap perkara ini amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih

“MENGILHAMKAN HARAPAN, MENCIPTA MASA DEPAN”

Yang menjalankan tugas,

……………………………………..

(AHMAD FARHAN BIN JUSOH)

Majlis Perwakilan Pelajar,

Fakulti Pendidikan,

Universiti Kebangsaan Malaysia.

s.k. - Fail MPP Fakulti Pendidikan

Dekan Fakulti Pendidikan.


Petikan dari blog; http://mpppromahasiswa.blogspot.com

Read more ...

9 Januari 2009

SYARAT BARU TIDAK MENGGUGAT CALON GMUKM

HARI PENAMAAN BERJALAN LANCAR : Semalam 8 Januari 2009 merupakan hari penamaan majlis perwakilan pelajar UKM 2008/2009. Menampilkan 32 calon GMUKM berjaya melayakkan diri untuk bertanding didalam pertandingan merebut kerusi PMUKM sesi kali ini. Perarakan dari Stadium ke Pusanika berjalan lancar dan meriah sekali. Bersama pegawai keselamatan yang mengawal lalulintas agar tidak berlaku kesesakan jalan di sepanjang jalan.

Di Fakulti Pengajian Islam (FPI) telah menyaksikan kemenangan calon GMUKM menang tanpa bertanding bagi kerusi tahun 3 dan kerusi tahun 2. Saudara Mahfuzan Gadafi dan Saudara Idris Yusoff. Calon FPI bagi kerusi tahun 2 terbatal penyertaannya apabila borang yang diisi oleh calon lawan adalah Borang 2 iaitu borang calon umum bukan calon fakulti Borang 2A. Calon yang merupakan ahli pasukan PALAPES UKM terpaksa mengundurkan diri apabila borang yang diberikan oleh Pusat Pekermbangan Pelajar telah memberikan borang yang salah kepada calon. Inilah yang dikatakan calon sistem, apabila diberi input terus di proses tanpa ada penilaian dan 'filter' jika tidak diarahkan. Maka outputnya adalah mahasiswa kaku dan lesu. Apa yang hendak dibuktikan lagi tentang MAHASISWA KAKU oleh di sebabkan AUKU menyekat mahasiswa.

CALON SISTEM : Kebanyakan kes kerusi fakulti mahupun kerusi umum calon telah di paksa menyertai dan menjadi calon. Ada yang diugut dibuang kolej, hilang kelayakan untuk naik pangkat bagi PALAPES dan di kejar jika tidak menghadirkan diri semasa penamaan calon. Mereka yang menjadi calon 'terdesak dan terpaksa' umpama tikus.

Manakala kerusi tahun 2 di Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB )yang dikenali juga sebagai FKejut juga menang tanpa bertanding. Meskipun Kerusi tahun tiganya juga telah diumumkan menang tanpa bertanding ditarik balik borang penyertaannya selepas jam 12 setelah bangkit isu 'buku peraturan' telah termaktub pada bahagian II perkara 3.5 kelayakan sebagai calon pelajar mesti mempunyai sekurang-kurang berbaki 2 semester. Walaubagaimanapun calon masih lagi berusaha untuk mendapatkan sokongan TNC kerana masalah yang dinyatakan. Isu yang dibangkitkan semasa bengkel MPP di AFamosa Melaka yang lepas menemui jalan penyelesaian, pelajar bagi fakulti yang mempunyai 3 tahun pengajiannya melayakkan pelajar tahun tiganya bertanding. Namun tidak pula dibincangkan bagi fakulti yang memiliki 4 tahun pengajian , dibenarkan pelajar tahun ke-empatnya bertanding. Jika di lihat syarat dan bentuknya serupa namun pihak pentadbiran menarik borang calon tersebut atas sebab tidak ada notis yang dikeluarkan tentangnya.

Namun GMUKM tidak pernah rasa tergugat dengan peraturan dan undang-undang pemilihan ini kerana GMUKM terlah bersedia dengan strategi calon dan kempen. Semalam telah bermula kampen dari kelas ke kelas menampilkan Calon Umum tahun 3 dan 2 di FSSK (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan). Manakala pagi tadi di Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Sains Teknologi. Respon yang diberikan mahasiswa amat positif.

Terima kasih kepada semua mahasiswa yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bagi menjayakan hari penamaan calon majlis perwakilan pelajar semalam.

Read more ...

8 Januari 2009

8 JAN: GAMBAR SEKITAR HARI PENAMAAN

Read more ...

7 Januari 2009

Calon Mahasiswa vs Calon Sistem

Sehari menjelang pilihanraya kampus, suasana masih lagi sunyi tanpa semangat merayakan demokrasi yang sepatutnya ada dalam diri setiap anak muda bergelar mahasiswa. Politik kampus masih lagi menjadi medan pertempuran anak muda yang seharusnya membawa inspirasi mahasiswa.

Pilihanraya kampus ini bakal menyaksikan pertembungan calon-calon yang menjadi caturan sistem dan caturan mahasiswa sendiri. Berhujah soal pertembungan ini, umpama berhujah tentang pertarungan Tuah dan Taming Sari. Liuk lentuk Taming Sari mengelak tikaman begitu hebat namun apakah kekebalan yang ada itu mampu menjamin segalanya? Usaha sekarang adalah memastikan Taming Sari menelusuri sejarah lepas, mati ditikam kebal sendiri.

Mengapa kita harus menolak calon sistem?

Kampus adalah persekitaran yang terbaik bagi mahasiswa mencatur dan merangka soal masa depan mereka. Soal masa depan mahasiswa di kampus tidak seharusnya dikompromi sama sekali. Masa depan kampus dan negara seharusnya terletak di tangan mahasiswa sendiri. Pencaturan sistem hanya bakal menyekat kebebasan mahasiswa dalam berfikir secara kritikal dan merencana soal masa depan mereka. Bukan hanya menyekat bahkan memandulkan pemikiran mahasiswa.

Calon mahasiswa adalah proksi kepada mahasiswa di kampus. Mereka dicaturkan sendiri oleh mahasiswa bagi membawa satu perubahan dalam suasana kemandulan intelektual di kampus yang amat dashyat. Mengapa ini terjadi? Kerana konstruksi pemikiran mahasiswa itu dibentuk agar mengikut kisah Arjuna sistem semata-mata. Calon sistem adalah proksi yang hanya akan bertanggungjawab kepada sistem semata-mata. Maka sistem yang yang berkepentingan akan bertuhankan matlamat yang menghalalkan cara untuk merealisasikan impian mereka dalam usaha memperhebatkan pengeluaran industri penciptaan patung-patung yang hanya mengangguk ketika membuat keputusan.

Masa depan negara 20 tahun akan datang terletak di bahu mahasiswa pada hari ini. Jika sehingga ke hari ini mahasiswa masih lagi dijadikan Arjuna yang digayakan Pak Dogol, maka proses pemandulan itu akan lebih baik. Mahasiswa harus diajar bagaimana cara merencana, mencatur dan memikirkan masa depan di kampus dahulu sebelum membuat keputusan negara di masa depan. Sekiranya drama Arjuna ini masih menguasai gelanggang, maka pakej penghasilan pemimpin masa depan yang berkualiti turut dimandulkan.

Maka, calon sistem harus ditolak habis-habisan oleh mahasiswa. Teguhkan pendirian dengan satu agenda perubahan memperkasakan mahasiswa. Pastikan setiap undi kita bersama calon mahasiswa kerana mahasiswa itu mampu berdiri atas caturan yang bebas dan tidak terikat dalam agenda memasung intelektual dengan matlamat memandirkan masyarakat kampus.
Bersatu berubah dengan setiap undi untuk perubahan!


Oleh: Hilman Idham

Read more ...